Persoalan yang bermain di fikiran anda: Bagaimana cara penjagaan selepas bersalin secara Caesar? (Caesarean)
Majoriti wanita inginkan proses kelahiran secara semulajadi (vaginal birth). Namun dalam sesetengah kes (komplikasi perubatan) yang tidak dapat dielakkan,ibu terpaksa memilih kelahiran secara pembedahan (Caesarean) bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi.
Situasi atau cara penjagaan bagi ibu yang bersalin secara pembedahan agak berbeza sedikit.
Berikut merupakan 5 perkara penting yang anda harus tahu untuk penjagaan ibu bersalin Caesar.
1 Positifkan minda anda
Anda haruslah positifkan minda anda!
Mengapa?
Ini adalah kerana majoriti wanita tidak ingin (malah tidak terlintas langsung!) di fikirannya bahawa dia akan bersalin secara Caesarean yang kemudianya, akan mengakibatkan trauma dalam dirinya.
Positifkan minda anda dengan mengimbas semula kepentingan mengapa perlunya anda melahirkan bayi anda secara Caesarean.
Mungkin anda boleh berkongsi cerita dengan kawan-kawan yang pernah melalui pengalaman yang sama.
Cara paling mudah? Anda pandang wajah bayi anda.
Mesti anda akan tersenyum dan jawapannya pasti ada di sebalik wajah bayi anda.
2 Jaga pergerakan anda
Sedikit regangan akan menyebabkan perut anda berasa pedih.
Pusing ke kiri sakit, pusing ke kanan sakit.
Batuk dan ketawa pun anda akan rasa sakit.
Adalah lebih baik untuk 2 minggu pertama terdapat individu yang membantu anda untuk bergerak terutama sekali apabila ingin turun dari katil.
Tips lain, anda boleh memegang atau menyokong luka anda menggunakan bantal terutama ketika ingin batuk atau ketawa.
Tapi jangan terkejut apabila baru beberapa jam anda bersalin Caesarean, doktor atau jururawat beritahu anda untuk turun dari katil.
Ini kerana lagi cepat anda bergerak, lagi baik peredaran darah anda dan proses pemulihan akan menjadi lebih baik Cuma jangan terlalu agresif memadai pergerakan berjalan sedikit demi sedikit.
3 Titik beratkan pemakanan anda
Makan dan minum dalam kuantiti sedikit tetapi kerap untuk mengelakkan anda berasa lapar dan dahaga.
Pemakanan haruslah dititikberatkan untuk proses pemulihan anda. Ini penting bukan sahaja untuk proses penyembuhan luka malah untuk penyusuan (laktasi).
Jangan lupa ambil makanan kaya serat untuk mengelakkan sembelit.
4 Gunakan pakaian yang sesuai
Pakaian apa yang sesuai untuk ibu yang bersalin secara Caesarean?
Guna pakaian yang selesa, labuh seperti dress.
Jika ingin gunakan seluar pastikan tidak ketat pada pinggang dan jenis yang menyerap peluh, contohnya seperti material kain kapas.
Untuk pakaian seluar dalam pula, gunakan jenis yang sedikit besar dari saiz anda yang sebenar dan jenis high-waist agar tidak bergeser dengan luka anda.
5 Penjagaan luka yang rapi
Sebelum keluar dari hospital, dapatkan nasihat daripada doktor atau jururawat mengenai penjagaan luka.
Paling penting jangan mengeser luka anda.
Jangan mengeser luka anda apabila mandi atau membersihkan badan anda. Keringkan dengan tuala yang bersih dan pastikan luka tersebut betul-betul kering sebelum mengenakan pakaian anda.
Kongsikan post ini untuk membantu ibu-ibu yang memerlukannya.